Friday 1 May 2015

Kelas LSC

Hari Pertama (22/4/2015)
     Kami yang terdiri daripada 9 orang dalam satu kumpulan telah melawat SCASFT yang terletak di Petaling Jaya selama 4 hari dan SCASFT terletak berhampiran dengan Universiti Malaya. Ia hanya memerlukan perjalanan dalam teksi selama 10 minit dari UM Central. Pada hari pertama iaitu 22 April 2015, hari rabu, kami sekumpulan selama 7 orang telah melawat SCASFT buat kali pertamanya untuk menjalankan interaksi yang mudah serta singkat bersama-sama staf, guru-guru dan yang paling penting, pelajar-pelajar yang berada di sana. Kami bertolak dari UM Central pada pukul 8 pagi dan sampai di sana kira-kira 10 minit kemudian. Apabila kami tiba di sana, kami berbincang tentang bagaimana untuk membahagikan 7 orang itu kepada 3 kumpulan kecil kerana menurut pengetua di sana, kami tidak dibenarkan untuk masuk dalam satu kelas secara beramai-ramai. Jadi, kami telah dibahagikan kepada 3 kumpulan. Saya, Hong Sing Yee, dan juga rakan saya Hoi Kah Mun telah memilih untuk masuk ke kelas LSC, iaitu yang mana melibatkan kebanyakan aktiviti menulis dan melukis. Kami telah menemu bual seorang pembantu di dalam kelas itu iaitu Puan Mary. Beliau membantu guru kelas tersebut dalam kerja sehariannnya dan juga bertanggungjawad untuk mengagihkan makan pagi dan petang kepada murid-murid di sana. Kadang-kala apabila guru kelas tersebut tidak dapat hadir, Puan Mary akan mengambil alih untuk mengajar murid-murid tersebut beberapa aktiviti seperti melukis dan mewarna. Puan Mary ada berkongsi sedikit sebanyak tentang ciri-ciri murid-murid dalam kelas LSC seperti Leela yang tidak dapat mengawal pengaliran air liuhnya, Jun Kai yang tidak berapa ingin memberikan kerjasama, Qiao Ern yang lebih bijak di kalangan mereka dan juga beberapa murid yang lain. Beliau juga menunjukkan kami beberapa buah buke mewrana dan menulis murid-murid di situ dan memberikan kami sedikit penerangan tentang aktiviti yang sesuai dilakukan bersama mereka.

Hari Kedua (27/4/2015)
     Saya dan rakan sekumpulan saya iaitu Kohilavani telah masuk ke kelas LSC untuk melakukan sedikit aktiviti ringkas bersama murid-murid di situ, seperti berbual-bual dengan mereka untuk mengetahui lebih banyak informasi tentang mereka, menolak mereka di dalam kerusi roda untuk berjalan-jalan di luar kelas, mengajar mereka menulis dan mewarna, yang dimana aktiviti-aktiviti sebegini akan membantu kami untuk menyediakan aktiviti-aktiviti yang lebih sesuai untuk mereka. Saya dan Kohilavani berbual-bual dengan murid-murid di situ untuk mengenali mereka dengan lebih lanjut dan di antara mereka yang boleh bercakap dengan normal adalah seperti Qiao Ern dan Jun Wei. Melalui perbualan saya dengan Qiao Ern, saya mendapat tahu yang dia merupakan satu-satunya anak perempuan dalam keluarganya yang terdiri daripada dua orang ibu bapa dan lima lagi adik lelaki dan abangnya. Dia juga berkongsi dengan saya yang dia menginginkan seorang kakak yang boleh menjadi “rakan karibnya”. Pada hari tersebut juga saya mendapat tahu bahawa terdapatnya gim yang menyediakan peralatan-peralatan untuk membantu mereka dalam pergerakan mereka seperti berjalan, mengangkat tangan dan lain-lain. Mereka juga menghadiri hydrotheraphy dimana sebuah kolam yang khas untuk mereka dan juga pembantu akan menolong mereka sepanjang terapi tersebut.

Hari Ketiga (29/4/2015)
     Pada hari ketiga, kami telah menjalankan beberapa aktiviti bersama-sama murid-murid di situ. Saya dan rakan saya Kohilavani telah menyediakan beberapa aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk mereka. Kami menyediakan bahan-bahan untuk shape-matching, melukis, menulis dan juga kertras warna. Shape-matching merupakan satu aktiviti yang mudah, yang menyerupai puzzle tetapi amat mudah sekali. Kad manila berbagai warna dipotong dalam beberapa bentuk seperti bentuk hati, segi tiga, segi empat dan lain-lain. Kemudian bentuk-bentuk tersebut digunting kepada dua dan murid-murid di sana dikehendaki untuk memadankan bentuk-bentuk tersebut. Selain itu, kami juga ada menyediakan beberapa keeping kertas yang telah ditulis beberapa perkataan seperti “kawan”, “bunga”, dan lain-lain perkataan yang mudah. Tidak semua murid di dalam kelas LSC boleh menulis kecuali beberapa orang sahaja. Bukan itu sahaja, kami juga ada menyediakan kertas warna dan pen marker untuk mereka menulis nama mereka sendiri. Ada sesetengah yang boleh menulis nama mereka sendiri tetapi kebanyakan mereka tidak boleh. Oleh itu, saya dan rakan saya Kohi telah menuliskan nama mereka dan juga kata-kata seperti “you are cool”, “you are awesome” dan “be happy” serta melukiskan gambar-gambar yang comel di atas kertas tersebut. Selepas itu, kami menjalankan aktiviti mewrana bersama-sama mereka. Mereka mula berasa letih sebelum mereka habis mewarna gambar-gambar yang kami sediakan, oleh itu, kebanyakannya kami yang habiskan lukisan itu untuk mereka supaya dapat dijadikan cenderamata kepada mereka. Apabila tibanya masa makan pagi mereka, iaitu tepat-tepat pukul 10 pagi, kami juga ada membantu serba sedikit dalam menyuap makanan mereka. Makanan mereka pada hari itu terdiri daripada macaroni dan juga ketulan-ketulan roti putih (yang telah dipotong oleh pembantu iaitu Puan Mary) bersama dengan kacang dalam tin.




No comments:

Post a Comment